Selasa, Februari 17, 2009

Bomoh Oh Bomoh

Minda: Apa kelebihan bomoh?
Oleh Soraya Jamal


MASIH ingat lagi kisah bomoh tempatan yang penipuannya dibongkar penyelidik sebuah stesen televisyen Korea?

Bomoh yang menggunakan status ‘ustaz’ itu mendakwa boleh menyerap racun dalam badan pesakit dengan hanya menggunakan telur serta rawatan cas elektrik.

Ternyata telur yang digunakan bomoh berkenaan sebenarnya sudah menjalani beberapa kaedah saintifik yang mengubah isi kandungannya. Peralatan yang digunakan untuk rawatan cas elektrik pula sudah diubah suai.

Selain penipuan sedemikian, sudah berapa kali juga kita membaca di dada akhbar kes bomoh yang didakwa mencabul atau merogol pesakitnya.

Terbaru pada minggu lalu, gara-gara ingin membuang sial, 19 orang menjadi mangsa penipuan bomoh palsu yang membabitkan kerugian mencecah RM480,000.

Pun begitu, masih ramai terus-terusan mencari bomoh. Ibaratnya masyarakat Asia dan bomoh tidak boleh dipisahkan.

Mencari orang atau barang yang hilang? Ingin menjadi cantik dan disukai? Menghidapi penyakit, terutama penyakit misteri?

Pendek kata, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan bomoh.

Kerana itu masih ramai yang menggunakan khidmat mereka meskipun pelbagai cerita negatif mengenai bomoh didedahkan.

Seolah-olah cerita mengenai sesetengah bomoh yang bertindak liar sehingga melanggar batas kemanusiaan dan kesopanan itu tidak meninggalkan sebarang rasa cuak.

Zura Basri, 26, berkata ibunya mempercayai bomoh kerana daripada kecil lagi dia dibesarkan dengan kepercayaan sebegitu.

“Zaman dulu bukan senang nak jumpa doktor. Sakit demam jumpa bomoh. Anak degil tidak mahu mendengar kata pun jumpa bomoh minta ditawarkan. Lambat bernikah, mandi bunga untuk membuang sial pun guna bomoh.

“Malah pernah juga ibu beri saya rantai tali hitam yang loketnya berbalut kain kuning untuk keselamatan diri. Sebab ingin tahu saya buka gulungan kain itu dan mendapati ada ayat-ayat al-Quran di dalamnya,” katanya.

Katanya, kepercayaan itu sudah sebati dalam masyarakat kerana diamalkan sepanjang generasi.

“Sekarang apabila kehidupan semakin moden, bomoh pun makin berkurangan, kebergantungan terhadap bomoh pun kuranglah. Tapi kami adik-beradik faham, ibu lakukan semuanya untuk kebaikan kami,” katanya.

Seorang bomoh yang hanya ingin dikenali sebagai Zul, lewat 30-an, berkata kebanyakan yang datang meminta bantuannya terdiri daripada mereka berpendidikan tinggi dan ada yang membesar di luar negara dengan mentaliti moden.

Malah, Zul sendiri bertugas sebagai eksekutif kanan sebuah syarikat swasta di ibu kota dan menyedari kemampuannya kira-kira 10 tahun lalu.

“Tanggapan bahawa hanya orang tua atau kolot yang meyakini kemampuan bomoh adalah salah sebab semua manusia tak kira latar belakang mempunyai keinginan,” katanya.

Zul keberatan mengulas mengenai bagaimana beliau mendapat ilmu mengubati penyakit itu dan berkata beliau hanya mengubat mereka yang benar-benar tiada pilihan lain.

Katanya, sesiapa boleh mengaku mampu mengubati penyakit atau mempunyai kebolehan istimewa, terutama yang pandai bermuslihat.

Tetapi dalam masa yang sama, ada juga yang benar-benar memiliki kebolehan merawat dan mengubat orang sakit.

Beliau berkata, bagi mereka yang benar-benar berkebolehan, perkataan bomoh seakan membawa konotasi yang agak negatif kerana itu ramai lebih senang digelar pengamal perubatan tradisional atau alternatif.

“Masyarakat jangan percaya membabi buta. Kalau kurang ilmu memang senang ditipu. Jangan tamak juga. Saya akui ramai terlalu meletakkan kepercayaan kepada bomoh kerana terdesak atau terlalu menginginkan sesuatu,” katanya.

Bagi Farina Jamal, 27, cukuplah sekali pengalamannya berdepan dengan pelbagai jenis bomoh.

Beliau berpendapat ramai mempercayai bomoh kerana mereka memberitahu apa mahu didengar.

Selain itu, tumpuan dialihkan kepada bomoh yang dijadikan sebagai sandaran apabila sains tidak dapat menjelaskan sesuatu perkara.

Katanya, lebih ‘senang’ untuk mempercayai yang pesakit disampuk hantu daripada menghidapi barah otak.

“Ketika bapa meninggal beberapa tahun lalu, adik saya sakit teruk tanpa diketahui penyebabnya. Sakit yang aneh-aneh, kadang-kadang hingga histeria.

“Maka saudara-mara mengusung dia ke sana ke mari berjumpa bomoh. Sampai dari luar negara. Beribu-ribu ringgit dihabiskan. Tapi tak juga pulih,” katanya.

Sebagai usaha terakhir, keluarga Farina membawa adiknya berjumpa pakar psikiatri.

Di situ Farina dan keluarga difahamkan kerana adiknya masih kecil, dia tidak tahu bagaimana untuk melepaskan tekanan. Maka tekanan emosi dilepaskan melalui kesakitan fizikal. Selepas beberapa sesi adiknya pulih dan kembali seperti sediakala.

“Memang tidak dinafikan kewujudan syaitan dan perkara mistik, tetapi bagi saya penyakit seperti banyak perkara lain adalah ‘mind over matters’ (kekuatan fikiran),” katanya.

Pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Helmi Abd Rahim, berkata seperti ketua kultus (cult leader), bomoh selalunya ada kelebihan untuk meyakinkan dan pujukan.

Lazimnya juga, bomoh dikenali melalui testimonial daripada mulut ke mulut dan memiliki kepakaran khas seperti mengubati penyakit misteri, mencari barang, ilmu penunduk, melariskan perniagaan dan sebagainya.

“Kadangkala, dengan keizinan Tuhan, ia menjadi. Kadang-kadang sesuatu perkara memang nyata, tetapi kerana taksub, seseorang itu percaya atau yakin ia adalah dengan bantuan bomoh itu,” katanya.

Bomoh palsu mudah menipu kerana ‘pengetahuan khas’ yang dimiliki membuatkan mereka mempunyai autoriti ke atas pesakit yang takut melanggar pantang, misalnya.

“Orang yang terdesak akan jumpa sesiapa sahaja yang boleh menjanjikan sesuatu yang mereka perlukan,” katanya.

Sama ada berkesan atau tidak rawatan bomoh sebenarnya bergantung kepada individu untuk mempercayai.

Tetapi janganlah terlalu taksub hingga membelakangkan agama dan kewarasan yang akhirnya kita sendiri yang menggigit jari. - Bernama

Source: Metro Online



Nota: try lah cari nama saya di dalam artikel ini. :p
Sila take note juga name penulis. Ngehehehe. Nice one, Cik Sor!

7 ulasan:

shamamia berkata...

ah.. igtkan kamu cerita kes mandi bunga... hehehehe

btw, bravo sor! :D

Lynn berkata...

glamer.. nama masuk HM hehe

azheazam berkata...

farina jamal, 27.. macam pernah ku jumpa, tapi di mna ye..

papaIndah berkata...

aku baca ni sambil terbayangkan Nujum Pak Belalang.

Sedangkan Raja pun bole kena tipu inikan pulak rakyat sahaya...

Farina, 27 (bukan nama sebenar), heheh

f a r i n a berkata...

bukan umur sebenar lah weh. hahahaha...

harusnya,

farina jamal, (always!) 17

***KB berkata...

27?? katanya masih 22.. moskil hahahahah

f a r i n a berkata...

17!!!

(tahun ini, buat kali ke-10)

bro, birthday aku 12 may ye, but thanks for the thots! hahaha

#27

My current favourite writer: Fiersa Besari. Sederhana, cerdas dan mengena. If you haven't read any of his works, you should. ...