Rabu, April 22, 2009

Penjara dakwah Ako

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

HULU KLANG: “Hukuman ini sebagai satu dakwah kepada Ako dan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan dilarang agama,” kata Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad ketika menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 terhadap pelakon terkenal, Ako Mustapha.

Ako Mustapha atau Muhaizat Ahmad Mustapha, 37, disabitkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam selepas mengaku bersalah atas dakwaan berkhalwat dengan seorang wanita bukan beragama Islam.

Pelakon itu dituduh berkhalwat dengan jurusolek artis, Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa, jam 1.20 pagi, 27 Jun 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Wan Mahyuddin dalam penghakimannya, berkata Ako sebagai seorang Muslim sepatutnya memberi contoh yang baik kepada pasangannya bukan Islam dan tidak seharusnya duduk berdua-duaan kerana ia akan membawa kepada dosa lebih besar iaitu zina.

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan akhirat, maka jangan dia berkhalwat dengan perempuan tanpa mahram. Tertuduh seorang pelakon dan menjadi ikutan serta idola terutama kepada remaja Islam.

“Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah mengambil kira masa tangkapan iaitu pada jam kira-kira jam 1 pagi, tertuduh mempunyai niat untuk bermalam di situ dan keadaan tertuduh yang hanya memakai seluar pendek dan tidak berbaju,” katanya.

Wan Mahyuddin berkata, mahkamah mengambil kira kegagalan Ako hadir bagi mendengar prosiding khalwat itu sejak mula disebut 2007 sehingga mahkamah mengeluarkan waran tangkap, awal Januari lalu.

“Perbuatan ini (tidak hadir) seolah-olah penghinaan kepada mahkamah. Walaupun dalam rayuan, ini kesalahan pertama yang dilakukan tertuduh, tetapi prinsip mencegah lebih diutamakan. Gejala sosial terlampau teruk walaupun hukuman maksimum dikenakan, ia tidak memberi kesan.

“Mereka seolah-olah bangga dengan perbuatan tidak bermoral ini. Kita perlu tutup lubang maksiat. Jika dijatuhkan hukuman ringan, kesalahan ini akan dianggap remeh. Mahkamah bimbang ia menjadi ikutan,” katanya.

Terdahulu peguam syarie, Zuhri Zabudin Budiman dalam rayuannya, berkata anak guamnya insaf dan kesal dengan perbuatan yang dilakukan serta berjanji tidak akan mengulanginya.

Ako yang memakai kemeja biru dan berseluar hitam terkejut selepas keputusan dibacakan pada jam 10 pagi.

Zuri Zabudin memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.

Wan Mahyuddin memerintahkan permohonan itu difailkan serta-merta.

Sementara menunggu permohonan itu difailkan, pegawai membawa Ako ke pejabat agama sebelum permohonan penangguhan itu disebut semula di mahkamah pada jam 4 petang.

Zuri Zabudin dalam permohonannya itu berkata anak guamnya memohon pelaksanaan hukuman ditangguh sementara menunggu keputusan rayuan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Isteri Ako, seorang suri rumah, Kartina Shuaib Abdullah, 27, tidak bekerja. Jika hukuman penjara dikenakan, Ako sebagai pelakon akan hilang wang pendapatan untuk menyara keluarganya,” katanya.

Wan Mahyuddin dalam keputusannya membenarkan permohonan Ako untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara itu.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan denda RM3,000 dibayar serta-merta dan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dikenakan.

Ako ketika ditemui enggan memberi komen sebaliknya hanya mengatakan: “Saya dalam proses menerima keadaan ini.”




Nota: Hmmmmm...

Tiada ulasan:

#27

My current favourite writer: Fiersa Besari. Sederhana, cerdas dan mengena. If you haven't read any of his works, you should. ...