Jumaat, Ogos 14, 2009

I'm Not A Diva!

Eheh. Bukan saya. Tapi anak ikan kesayangan @ brondong manis macam gula tebu.

Afgan tidak mahu dilabel diva

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my




SEWAKTU menjulang salah satu anugerah yang diterimanya pada Anugerah Planet Muzik 2009 yang lalu.

--------------------------------------------------------------------------------




IMPAK lagu Terima Kasih Cinta telah berjaya meletakkan nama pemuda ini di puncak tertinggi dan sekali gus dia meraih populariti yang pantas dalam sekelip mata.

Album perdananya, Confession No. 1 yang turut memuatkan sebuah lagi lagu berhantu, Entah berjaya diterima dengan baik di negara kelahirannya, Indonesia dan juga Malaysia.

Afgan Syah Reza atau lebih dikenali sebagai Afgan yang baru menginjak usia 20 tahun tanggal 27 Mei lalu mengakui, tidak pernah bermimpi untuk mengecapi kejayaan yang diraih seperti hari ini.

Dia bertuah kerana selain daripada memiliki keampuhan vokal yang memukau peminat dan pendengar, dia juga hadir dengan paras rupa yang menawan dan bisa mencairkan hati peminatnya khususnya dari kaum Hawa.

Populariti dan kehebatan Afgan terus melonjak dan mendapat perhatian ramai apabila dia meraih dua anugerah utama pada Anugerah Planet Muzik 2009 (APM 2009) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

APM 2009 menyaksikan Afgan dicalonkan untuk enam kategori dan dia berjaya membawa pulang gelaran Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik di mana ia dipertaruhkan atas tiket album Confession No. 1.

Menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang tidak diduga, Afgan menegaskan, kejayaan itu bukanlah satu tiket untuknya duduk bersenang lenang dan menggoyangkan kakinya.

Berkongsi bakat

Sebaliknya, ia adalah sebagai pembakar semangat untuknya terus berusaha dan menghasilkan produk yang terbaik untuk pecinta muzik nusantara.

“Sehingga ke hari ini, saya masih tidak percaya yang saya memenangi anugerah itu kerana diri saya yang masih lagi mentah dan baru dalam bidang seni suara ini.

“Tidak sesekali mahu mendabik dada dan terus selesa dengan kejayaan itu, saya mahu terus berkarya dan menghiburkan masyarakat.

“Malah, kemenangan saya di APM itu juga telah memberi satu keyakinan buat saya untuk terus memantapkan karier seni saya,” ujarnya dalam satu temubual dengan Hits baru-baru ini.

Jujurnya, dia sendiri tidak pernah mengharap sebarang populariti mahupun kejayaan menerusi album pertamanya itu.

Baginya, objektif utama dalam bidang seni adalah untuk berkongsi bakatnya bersama masyarakat. Afgan menyerahkan kepada mereka untuk menilai bakat dan albumnya.

Dalam perkembangan lain, Afgan menjelaskan, dia kini sedang merangka dan merencana pembikinan album keduanya yang dijangka akan dipasarkan selewat-selewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Berbicara lanjut tentang album keduanya itu, anak kelahiran Jakarta ini menjelaskan, kali ini dia mahu bereksperimen dengan muzik yang sesuai dengan jiwa remajanya.

Bukan bermakna album pertamanya itu tidak menepati jiwanya, tetapi apa yang dimahukan Afgan kali ini adalah untuk meneroka muzik pop dengan lebih meluas.

“Album ini kelak akan menampilkan sisi berbeza saya. Saya bertuah kerana syarikat rakaman di Indonesia dan juga Malaysia memberi saya peluang untuk memberi buah fikiran.

“Apa yang saya boleh katakan album ini merupakan album yang lebih matang baik dari segi penyampaian vokal mahupun muziknya.

“Tiada apa yang saya harapkan selain daripada sokongan peminat dan mahu mereka menerima album ini sebaik album pertama saya,” kata artis yang bernaung di bawah syarikat rakaman Metadome ini penuh harapan.

Jelas Afgan, album keduanya itu juga akan memperlihatkan lebih banyak muzik rancak yang segar selain nuansa balada yang menjadi identitinya sejak bergelar artis.

Setakat ini, ujarnya, dua buah lagu bakal dimuatkan dalam album berkenaan iaitu Bukan Cinta Biasa yang kini semakin meraih perhatian meluas di corong radio tempatan selain lagu Wajahmu Mengalih Duniaku.

Jika tiada aral melintang dan semuanya berjalan seperti yang dirancangkan, album keduanya itu juga akan memuatkan sebuah lagu ciptaan Glenn Fredly yang merupakan antara penyanyi lelaki yang amat dikaguminya.

Hampir dua tahun menjalani kehidupan sebagai seorang artis sudah cukup membuka mata Afgan tentang realiti kehidupan sebenar dalam dunia glamor itu.

Tidak menafikan ada kalanya dia sedikit tertekan dengan kisah-kisah negatif yang kebanyakannya dusta tetapi Afgan lekas bangkit dan enggan terlalu memikirkannya.

Mujurlah setakat ini gosip panas yang melanda dirinya tidaklah begitu hebat seperti mana artis-artis Indonesia yang lain.

“Cuma saya agak kesal apabila pihak media di sana mencanangkan saya diberhentikan dari Universiti walhal saya hanya meminta cuti berehat untuk satu semester.

“Ada kalanya saya akui dengan kesibukan saya mengejar masa sebagai seorang penyanyi, pelajaran saya sedikit terganggu. Apa pun saya tekad untuk menghabiskan pelajaran demi masa depan saya,” jelas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Pemasaran) dari Universiti Monash, Indonesia ini.

Biarpun bergelar seorang penyanyi popular dan menjadi kegilaan ramai, Afgan masih tidak dapat mengikis perasaan malu yang sekian lama membelenggu dirinya itu.

Mengakui ia adalah tabiat buruk yang sukar dikikis dan dia enggan untuk merahsiakannya daripada pengetahuan khalayak.

Afgan yang juga pengagum penyanyi hebat, Ruth Sahanaya ini meluahkan hasratnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi lagu Kaulah Segalanya itu.

“Pernah juga beberapa kali saya menemui Ruth di acara muzik di Indonesia tetapi saya tidak berani untuk menyapa. Status diri saya yang masih mentah dan hijau dalam industri hiburan dan juga pemalu ini membantutkan saya berbuat demikian.

“Mustahil untuk saya hapuskan sifat pemalu ini kerana ia adalah diri saya. Bukan apa, bimbang nanti kalau sudah tiada perasaan itu, saya akan menjadi orang lain pula,” ujar anak kedua daripada empat beradik ini sambil ketawa kecil.

Perniagaan berteraskan fesyen

Biarpun sudah popular dan menjadi antara penyanyi terbaik generasinya kini, namun jauh di sudut hatinya dia juga bimbang kalau masyarakat ada tanggapan negatif terhadapnya.

Istilah diva, bongkak, sombong mahupun besar kepala sering kali dilemparkan kepada artis-artis popular biarpun ada segelintir tidak bersikap demikian.

Kata Afgan, dia sesekali tidak akan membuat sesuatu perkara yang boleh mendorong masyarakat untuk melabelnya sedemikian rupa.

“Semuanya bergantung kepada individu dan mereka mempunyai hak berbuat demikian. Secara peribadi, saya tiada alasan untuk bersikap diva kerana saya akan meneruskan perjalanan saya seperti mana hari pertama saya menjejakkan kaki dalam industri seni ini,” tuturnya penuh diplomasi.

Kesibukannya sebagai seorang penyanyi dan pelajar juga menghalangnya daripada melayari dunia cinta.

“Tidak mahu memikirkannya buat masa ini biarpun saya teringin sekali untuk mendampingi seorang wanita yang digelar kekasih,” katanya jujur.

Anak kepada pasangan Loyd Yahya dan Lola Purnama ini juga sudah memikirkan perancangan masa depannya seandainya satu hari kelak, dia tidak lagi bergelar seorang artis.

Mahu menjalankan perniagaan berteraskan fesyen jika diberi peluang, dia mahu menggunakan ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk mengembangkan lagi perniagaan itu kelak.

“Bukan itu sahaja, saya juga mahu kembangkan bakat saya dalam bidang lakonan serta membikin sebuah album penuh jazz. Itu juga impian saya,” katanya yang menggemari muzik jazz oleh Jamie Cullum, Ella Fitzgerald dan Diana Krall.

Sementara itu, Afgan juga menyatakan rasa bertuahnya apabila dapat beraksi dalam sebuah konsert yang diberi nama Illuminight pada malam esok (15 Ogos) bermula pukul 7 malam.

Afgan akan beraksi bersama-sama rakan seperjuangannya dari Indonesia iaitu Maliq & D’Essentials dan Yovie & Nuno serta penyanyi Malaysia, Atilia.

“Sebelum ini menerusi showcase saya di sini, saya hanya menyanyi sekitar lima lagu sahaja tetapi untuk Illuminight, saya akan menyanyi dalam 10 buah lagu.

“Pastinya, ini merupakan satu pengalaman baru buat saya apabila dapat membuat persembahan dalam sebuah konsert dan menghiburkan peminat di negara ini,” ujarnya dalam nada teruja.


Kalau tengok gambar dalam Utusan Malaysia, lagi hot macam nak geget-geget je rasanya.

Yummy.

2 ulasan:

along berkata...

*transform jadi award yg afgan pegang itu*

Cah Ayu berkata...

*transform jadi seluar afgan*

#27

My current favourite writer: Fiersa Besari. Sederhana, cerdas dan mengena. If you haven't read any of his works, you should. ...